Selasa, Julai 14, 2009

Namun bila dirimu tak lagi memerlukanku…

Jula Juli Bintang Tujuh…


Hehe… kenyataan di atas sengaja dibuat tanpa tujuan. Pening sebenarnya memikirkan manuskrip yang tak bergerak-gerak. Cemburu juga rasanya bila baca blog penulis-penulis lain begitu gigih berjuang dengan manuskrip masing-masing. Ada yang sudah siap dan sedia dihantar untuk tatapan penerbit. Riana? Masih bergelut dengan masa yang makin lama makin menghimpit diri. Kalau boleh minta sehari ada 48jam, mahu saja Riana berbuat begitu. Huhu… sungguh tidak bersyukur kan! Astaghfirullah…


'Ini kisah saya yang panjang. Saya tidak tahu kali ini entah kali ke berapa saya jatuh cinta lagi. Jatuh cinta dipandang indah jika berbalas. Sebaliknya bagi saya. Masuk kali ini sudah tiga kali cinta saya ditolak. Saya tidak tahu apa salah saya. Rupa paras saya sempurna… saya tidak mengalami sebarang kecacatan. Saya sempurna sebagai seorang wanita. Saya juga tidak tahu kenapa saya ditakdirkan Tuhan jatuh cinta pada lelaki… dan akhirnya dikecewakan. Cinta saya cinta sehala… cinta yang tidak berbalas. 
Pertama kali saya jatuh cinta ketika zaman anak sekolah lagi. Cinta pertama itu saya pendam sendiri kerana berasa rendah diri. Saya hanya orang kebanyakan sedangkan orang yang saya suka itu dari golongan berdarjat. Tidak berani meluahkan rasa hati, saya mengambil jalan berkawan dengannya seperti biasa. Saya bertuah kerana dia menerima saya sebagai seorang kawan seadanya. Dia lelaki yang sangat baik. Dia lelaki biasa-biasa saja bagi pandangan orang lain. Tetapi tidak bagi saya. Dia cukup kacak dan baik. Saya menyukainya kerana karisma yang ada pada dirinya. Dia mempunyai ciri-ciri pemimpin di kalangan teman-teman. Itu yang membuat dia istimewa di mata saya. Saya tidak peduli apa yang orang lain pandang pada dia. Dia istimewa dan bagi saya satu sumber inspirasi. Namun malangnya… hati si dia sudah dimiliki oleh gadis yang cukup menawan lagi ayu. Hati saya hancur luluh sendiri. Kerana dia cinta pertama saya, maka kelukaan di hati saya amat parah untuk dirawat. Hanya kata nasihat teman-teman dan pujukan dari diri sendiri yang mungkin dapat mengurangkan sedikit tekanan dalam diri. Dia yang pertama ini hilang ditelan waktu-waktu remaja yang melukakan.
Si dia yang kedua… hadir setelah sekian lama diri menutup pintu hati dari cinta. Elok gelar si dia sebagai Mr. A. Mr. A juga merupakan cinta sehala bagi saya. Saya meminati Mr. A kerana dia mempunyai ciri-ciri seperti si dia yang pertama. Dia mempunyai cukup ramai peminat fanatic dan juga tidak. Saya mungkin berada di golongan yang tengah-tengah. Tidak terlalu fanatic. Namun sampai satu ketika, entah kuasa apa yang mendorong saya untuk menyuarakan rasa hati saya pada Mr. A. Dia terkejut, namun tidak pernah menolak kehadiran saya. Sikap gentleman nya ini menambahkan lagi rasa suka saya padanya. Tidak pernah berkurang walau sedikit. Dia amat memahami dan melayan saya seadanya. Dia membuat saya berasa diri saya cukup bertuah menjadi seorang wanita. Bersama dengan Mr. A, buat pertama kalinya saya diserang peminat fanatiknya di khalayak ramai. Saya malu, namun tidak mahu maruah diri saya diceroboh sesuka hati, lalu saya membalas kata-kata wanita tersebut. Saya tidak mahu dilihat menang di antara mata-mata yang melihat. Cukuplah sekadar maruah diri saya terbela. Siapa lagi yang harus menjaga maruah diri saya, melainkan diri saya sendiri. Semasa kejadian tersebut, Mr. A tidak berada di tempat kejadian. Selepas kejadian tersebut, saya menerima panggilan telefon dari Mr. A yang memohon maaf bagi pihak wanita yang menyerang saya itu. Katanya, jangan dihiraukan kata-kata wanita tersebut. Biarlah antara kita saja yang tahu apa yang berlaku dalam hati kita. Panggilan dari Mr. A membuatkan semangat saya berkobar-kobar semula. Jika ketika itu saya terluka di jari, pastinya luka tersebut tidak terasa sakitnya. Perhubungan hati di antara kami berpanjangan… namun masa tidak menyebelahi kami... Perhubungan tersebut hilang begitu saja bila masing-masing merasakan bagai tidak bersedia untuk melangkah ke stage seterusnya. Kecewa kali ini tidak terlalu memakan diri. Mungkin kerana segala rasa cinta dan kasih telah diluahkan hampir keseluruhannya pada Mr. A. Dia tahu yang diri ini menaruh hati padanya. Bagi saya, itu sudah mencukupi. Tidak mahu meminta lebih dari itu. Selebihnya, saya doakan dia bahagia dengan siapa jua pilihan hatinya. Saya melepaskan Mr. A dengan perasaan yang cukup redha dan hati saya merasa cukup tenang ketika itu. Akan saya kenang kisah saya dengan Mr. A sehingga akhir hayat saya, Insya Allah!
Bertahun meninggalkan alam universiti, saya sangkakan hati saya bagai pintu gua yang begitu sukar benar dibuka. Bukan tiada lelaki yang cuba menghimpit. Namun semuanya tidak menepati ciri-ciri dan kualiti sebagai seorang lelaki sejati. Bagi saya, lelaki yang sudah berkahwin dan lelaki yang miang ulat bulu… akan saya reject bulat-bulat tanpa berfikir walau sekali. Itu prinsip saya. Mungkin disebabkan itu juga saya tidak bertemu jodoh hingga kini. Siapa sangka, jarak waktu yang begitu lama sebelum saya kembali disuntik Cinta lagi. Kali ini kita gelarkan pula dia sebagai J. J menyukai saya dalam diam, namun dipendamkan saja rasa tersebut. Saya, pada mulanya tiada perasaan padanya. Namun, semakin lama berkawan dengannya semakin saya tertawan dengan sikap dan juga tingkah lakunya. Karektornya berbeza dengan lelaki lain. Dia cukup menghormati wanita. Itu poin utama saya menyukainya. Dia juga menghormati orang yang lebih tua darinya. Dalam masa beberapa bulan, saya dan dia saling memendam rasa. Kali ini saya mengambil langkah berani menyatakan suara hati saya padanya. Saya berterus-terang tanpa selindung-selindung lagi yang saya menyukai dia. Namun dia yang telah menyukai saya, kelihatan teragak-agak untuk menyambut cinta saya. Saya putuskan di dalam hati dengan nekad bahawa saya harus menamatkan rasa di hati saya ini sebelum segalanya terlewat. J saya jauhi dengan sekuat iman di hati saya. Namun, apakan daya… semakin saya ingin menjauhkan diri, semakin dia kembali menghampiri. Saya tidak tahu apa kesudahan yang bakal dihadapi oleh saya dan J. Semakin hari hati saya semakin disuntik cinta. Saya takut terluka lagi... Inilah kisah saya dengan cinta-cinta yang tidak berkesudahan.'


Huhu… testing skill yang makin berkarat. Cerita di atas adalah sebahagian kisah yang berlaku di sekeliling kita. Tiada berkaitan sama ada yang hidup ataupun yang mati. Hanya imaginasi penulis semata-mata. Kisah dengan J itu nanti Riana akan cuba kembangkan lagi jika rajin… Jumpa lagi!

Tiada ulasan: