Ahad, Januari 27, 2013

Solat tiang agama.


Entri kali ini mengenai solat. Entri peringatan ini khas buat diri sendiri dan juga buat siapa jua yang membaca. Ramai di antara kita dididik sejak kecil untuk bersolat. Namun ada juga yang tidak mempraktikkannya setelah usia menginjak dewasa. Ada banyak faktor yang menyebabkan kejadian seumpama itu berlaku.
Ada yang solat bukan atas dasar keikhlasan untuk beribadat, tetapi lebih kepada menunjuk-nunjuk, untuk mempamerkan bahawa dirinya bersolat di hadapan rakan-rakan atau malu dengan rakan-rakan yang bersolat.
Solat itu sendiri adalah soal hati & keikhlasan. Jangan berbangga dengan kejahilan dan jangan juga berasa bangga dengan ilmu dan amalan. Berazam dan berusahalah untuk mengerjakan dengan istiqhomah (berterusan) di samping kita memperbaiki segala kelemahan.Berubahlah. Kerana anda belum terlambat untuk berubah.
Dalam keadaan seseorang itu ingin berubah, pelbagai ujian didatangkan kepadanya dengan pelbagai cara. Janganlah kita sebagai rakan, teman dan adik-beradik memperlekehkan langkah perubahan yang diambil oleh teman-teman kita. Kita sebagai seorang teman seagama, harus memberikan sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bagi. Ya, perkara seperti ini pernah berlaku berdasarkan pengalaman sendiri.
Di sini saya ingin kongsikan panduan tentang teknik motivasi untuk memulakan solat, setelah lama meninggalkannya.

Antaranya:

1.Sematkan azam, bulatkan tekad.

Sebaik sahaja tersedar dari lamunan, cuba fikirkan sedalam mungkin tentang apa yang anda lakukan. Apa yang sepatutnya dilakukan dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan.
Dari siti, tanam azam yang kukuh bahawa anda ingin mengerjakan solat dan tidak akan meninggalkannya sampai bila-bila. Kerana itulah tujuan hidup kita di atas muka bumi ini.

2. Cari masa dan tempat yang sesuai, sunyi, jauh dari dugaan.

Kemudian tetapkan masa di mana anda akan mula menjalani kehidupan sebagai seorang yang mengerjakan solat. Lebih cepat, lebih baik. Ingatlah, berdosa besar bagi orang yang melengah-lengahkan solat.
Sebaiknya, cari tempat yang sunyi dan jauh dari dugaan. Jauhi rakan-rakan yang tidak solat atau suka mengejek, sekurang-kurangnya untuk waktu itu sahaja. Masjid juga adalah tempat yang baik.

3. Solat sekali dulu, baru ada kali kedua.

Walau sekuat mana pun azam, sebulat mana pun tekad, sebaik mana pun masa dan tempat, tanpa solat pertama, takkan jadi solat kedua dan seterusnya. Oleh itu mulakan sahaja tanpa berlengah.

4. Buat nota peringatan dan galakan.

Kalau ada masa dan semangat yang berkobar-kobar, tuliskan kata-kata peringatan dan galakan di atas sehelai kertas. (besar atau kecil). Kemudian yang besar tampal di dinding manakala yang kecil diletakkan di dalam wallet atau poket baju. Pedulikan pada suara-suara sumbang yang menganggap anda nak tunjuk bagus.

5. Fahami maksud setiap bacaan dalam solat.

Jika anda kurang setuju dengan point ini, nasihat saya cuba dahulu. Anda akan pasti merasa kelainannya.
Bukan faham satu-satu ayat, tetapi setiap satu perkataannya. Di situ akan bermula keindahan solat, di mana anda akan merasa seolah-olah khusyuk itu mula hadir dalam diri semasa mengerjakan solat.

6. Baca perlahan-lahan mengikut tertib.

Sewaktu solat, baca perlahan-lahan untuk meningkatkan rasa manis dan seronok.

7. Tingkatkan imaginasi.

Sewaktu membayangi maksud, tingkatkan imaginasi anda. Bayangkan keindahan bertemu Allah yang menjemput kita untuk sujud kepadaNYA.

8. Doa mohon kekuatan dan sokongan.

Panjatkan doa kepada Allah S.W.T. dengan memohon kekuatan dan sokongan untuk berubah menjadi hambaNYA yang taat. Hendaklah diamalkan sejurus selepas setiap kali solat.

9. Tumpu perhatian kepada hari-hari yang dilalui.

Tumpukan perhatian anda kepada hari-hari yang anda lalui dengan mengerjakan solat. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengerjakan solat.

10.Dapatkan adrenaline  sewaktu mendengar azan.

Adrenaline boleh digunakan sebagai pembantu dengan memberi satu kejutan semangat yang berkobar-kobar untuk terus menunaikan solat tanpa berlengah-lengah.
Jika anda menanam adrenaline ini sehingga menjadi tabiat, anda pasti akan meninggalkan segala kerja yang anda lakukan, apabila terdengar sahaja azan berkumandang.

11. Berfikir secara positif.

Fikirkan diri anda sebagai seorang yang mengerjakan solat sebaik sahaja anda memulakannyadan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian.Sekiranya ada rakan anda yang mengajak ke mana-mana sebelum sempat anda menunaikan solat, beritahu padanya anda ingin solat terlebih dahulu.
Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk mengerjakan solat.

12.Dapatkan sokongan mental dan rohani.

Berikanlah peringatan kepada keluarga, rakan sepejabat, kawan rapat yang anda telah mula mengerjakan solat dan memrlukan kerjasama serta sokongan dari mereka.
Mintalah rakan-rakan anda yang tidak mengerjakan solat menghormati keputusan anda.


13. Lawan kemalasan dalaman dan godaan syaitan.

Dari masa ke semasa anda akan merasai satu kemalasan, kebosanan dan sebagainya, yang mana semua itu sebenarnya hanyalah godaan syaitan dan kemalasan diri sendiri.
Oleh itu lawanlah sehabis-habis mungkin. Ingatlah, anda lawan ni pun tak lama. Lama-kelamaan ibadah ini akan sebati dalam diri anda dan tidak perlu dipaksa lagi.

14. Banyakkan bahan bacaan tentang solat.

Kerapkan diri anda membaca kisah-kisah nikmat solat untuk membangkitkan semangat. baca juga tentang dosa meninggalkan solat untuk membangkitkan rasa takut pada ALLAH. Moga-moga dilimpahi rahmat dan keberkatan olehNYA.

Motivasi ini saya baca di sini.

Sebenarnya pada pendapat saya sendiri, kurangnya motivasi-motivasi sebegini bagi mengukuhkan solat kita. Yang ada pun lebih banyak yang memaparkan dosa meninggalkan solat, hukum itu dan ini. Saya percaya, ramai di luar sana yang beragama Islam sudah tahu malah lebih maklum bahawa meninggalkan solat itu merupakan satu dosa besar. Namun tak ramai yang ingin tampil untuk lebih menelusuri mengapa dan memberikan 'rawatan' bagaimana untuk menyembuhkan hati-hati yang sudah berdosa ini dari terus-terusan rasa berdosa.

Di bawah ini ingin saya tambahkan sedikit. Doa supaya tidak meninggalkan solat. Moga sama-sama kita amalkan.

Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Maksud di dalam Bahasa Inggeris: "O my Lord! make me one who establishes regular Prayer, and also (raise such) among my offspring O our Lord! and accept Thou my Prayer.


Saya juga nak kongsikan beberapa buku yang saya kira wajib dimiliki untuk kita lebih mendalami erti solat kita sebenar-benar.

1. Ensiklopedia Solat terbitan Telaga Biru.
2. Formula Solat Sempurna terbitan Telaga Biru.
3. Solat Bestari terbitan Grup Buku Karangkraf.
4. Fahami bacaan dalam solatmu terbitan PTS.

Moga perkongsian ini berguna kepada semua. Yang terbaik itu datang daripada ALLAH, dan yang buruk itu dari saya manusia yang serba kekurangan. Amin. Wasalam.

Tiada ulasan: