Rabu, April 22, 2009

Ke mana perginya adab sopan dan budi bahasa…


Tertarik saya membaca rencana oleh Datuk Johan Jaaffar di dalam satu ruangan di surat khabar hari minggu yang lalu. Di hati mengiakan setiap patah kata yang ditulis dan mengakui apa yang direncanakan di dalam akhbar tersebut memang semakin menular di dalam bangsa kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dan rasanya semakin serius. Sesama manusia sendiri sudah hilang adab sopan. Masing-masing bagai sudah melupakan adab sopan, rasa bertimbang rasa sesama kita. Dalam zaman yang semakin maju dengan teknologi, manusia bagai terlupa atau sengaja mengabaikan adab antara manusia itu sendiri. 
Adab sopan di sini luas maknanya. Bukan sekadar dilihat dari segi perilaku, malah ianya adalah dari segi cara kita berkomunikasi, cara kita membawa diri di tengah khalayak, cara kita berpakaian dan macam-macam lagi. 
Saya pernah mengendalikan bahagian khidmat pelanggan di tempat saya bekerja. Kerana kekurangan staff di situ, maka saya terpaksa mengangkat telefon dan melayan pelanggan dalam masa yang sama. Ada satu kejadian di mana saya menerima panggilan telefon ketika itu tiada pelanggan lain di depan saya… dan pelanggan di dalam telefon tersebut mahukan beberapa senarai buku. TIba-tiba ada seorang pelanggan datang di hadapan saya. Melihat saya tidak dapat melayaninya, pelanggan tersebut buat muka tidak puas hati. Malah menghempas pen di hadapan saya. Saya sedaya upaya cuba menamatkan panggilan dari pelanggan di dalam telefon itu untuk mengetahui apa sebenarnya pelanggan di depan saya itu mahukan. Perkataan pertama yang keluar dari mulutnya…
"Sepatutnya you kena serve customer yang datang berdepan dengan you, bukan melayan panggilan telefon."
Dan saya terpaksa menjawab dengan agak kasar (kerana pelanggan tersebut bahasanya pun kurang ajar)
"Di telefon tu pun pelanggan… encik terpaksa menunggu giliran. Takkan itu pun encik tak boleh nak bersabar. Saya rasa tidaklah terlalu lama mengambil masa encik…" 
Pelanggan itu terus membebel dan saya terus ke poin yg sepatutnya saya selesaikan dengan dia iaitu ingin menukar surat rebate kepada voucher… Setelah permintaan dia saya penuhi dalam jangka masa kurang dari lima minit, pelanggan tersebut terus beredar tanpa sedikitpun mengucapkan Terima Kasih. Saya tahu dia marah, tetapi… takkanlah perkataan semudah terima kasih pun lokek benar mahu keluar dari bibir. Saya bukan harapkan pujian atau penghargaan. Cukup sekadar terima kasih. 
Betapa orang kita ini begitu lokek dengan perkataan maaf dan terima kasih. Jika beginilah masyarakat kita hari ini membawa diri dengan keegoan sendiri… Tak mustahil anak-anak kita suatu hari kelak pupus dengan adab sopan dan budi bahasa.

Tiada ulasan: